Monday 19 December 2011

START IT RIGHT



PRAKATA PENOLONG KANAN KOKURIKULUM

السلام عليكم ورحمة الله وبركاتة

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah..syukur kepada Allah kerana dengan izin dan rahmatnya,kita bertemu pada tahun 2014 dengan satu tekad berusaha membawa SMKPI ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya menjadikan SMKPI antara sekolah unggul di Pulau Pinang ini.


Saya mengambil peluang mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada guru-guru yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab membentuk jiwa pelajar khususnya dalam bidang kokurikulum. Saya amat menitikberatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum kerana perwatakan, sikap dan kecenderungan pelajar untuk berjaya tersemai dalam bidang ini. Pelajar boleh dibentuk , boleh dipacu ke arah nilai positif melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Saya memohon para guru semua mengambil kesempatan yang ada ini untuk memberi sepenuhnya sumbangan melalui kurikulum kokurikulum yang sarat dengan pelbagai aktiviti. Rancanglah pelbagai aktiviti yang baik untuk kita sama-sama membentuk disiplin pelajar, membentuk jati diri yang kuat di samping menjadikan mereka anak-anak pelajar yang berjiwa besar satu hari nanti.Ambillah kesempatan ini untuk berbakti kepada pelajar tanpa mengira agama dan kaum. Kita wajib mengambil tanggungjawab membentuk akhlak pelajar kerana kita adalah pendidik dan kita adalah guru. Buanglah sikap mementing diri, terlalu berkira-kira dalam melaksanakan tugas, terlalu mempersoalkan tugas yang diberi dan terlalu membandingkan antara satu sama lain. Janganlah pula kita bijak mengatur susun perjalanan kerjaya orang lain tetapi kita tidak berjaya menyusun tugas dan tanggungjawab utama kita. Buanglah sikap tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti sekolah dan marilah bersama-sama kita majukan anak-anak pelajar kita ke arah yang lebih baik.Kasihani mereka kerana mereka perlu bimbingan dan tunjuk ajar kita.


Akhir kata, saya bertekad dengan sedikit ruang yang ada untuk memberi peluang seluas-luasnya kepada para pelajar menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah, daerah, negeri ataupun peringkat kebangsaaan. Saya berhasrat memperbanyakkan aktiviti di peringkat sekolah demi memberi pendedahan dan peluang kepada anak-anak pelajar. Mari hari ini, 2014..kita BERMULA DENGAN LANGKAH YANG BETUL dan TEPAT untuk kita sama-sama sebagai warga SMKPI bersatu hati membawa kebaikan kepada pelajar.Biarlah para pelajar mendakwa,kita berjasa besar kepada mereka suatu hari nanti.Saya mendoakan kita sama-sama berjaya membangunkan sekolah dan pelajar.


Sekian..Wassalam.






En. Jamil bin Che Mat


Penolong Kanan Kokurikulum